Monday, 17 March 2014

Biro Sukan dan Rekreasi : Riadah Jamai'e



          Aktiviti rekreasi di bukit Pelindung sudah, sukan antara batch (interbatch) pun sudah, dan tidak lupa juga betapa meriahnya pertandingan boling yang telah diadakan baru-baru ini. Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah rahsia batch kami (Eximius) dapat menjalankannya dengan baik? Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah hasil kerja daripada biro sukan dan rekreasi (sport and recreation) sendiri yang komited dan berpenat-lelah memastikan sukan dan rekreasi merupakan salah satu daripada ‘makanan’ kami selain daripada buku-buku tebal dan nota subjek. 

            Dengan moto ‘play more, learn more’,  misi biro ini adalah untuk memastikan setiap ahli eximius terlibat secara aktif dalam bidang sukan dan rekreasi. Ini bukanlah suatu yang mudah dan usaha mereka memang tidak patut dipandang enteng. Cuba anda bayangkan sendiri  betapa susahnya untuk membentuk dan mengubah seseorang yang malas bersukan kepada seseorang yang aktif ditambah lagi dengan jadual harian yang padat.

         Sebenarnya, tujuan utama diri ini menulis di sini adalah untuk menceritakan satu lagi aktiviti batch yang telah dijalankan oleh biro sukan dan rekreasi  iaitu RIADAH JAMAI'E. Riadah jamai'e membawa maksud beriadah atau bersukan beramai-ramai. Daripada riadah jamai'e ini sendiri, ianya bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim antara ahli eximius, malah dapat menyihat dan menguruskan badan. Jikalau aktiviti sebelum ini hanya sekali setahun, riadah jama’ie ini pula telah dijalankan secara berkala. Setakat ini, biro sukan dan rekreasi akan mengadakan riadah jamai’e ini sekurang-kurangnya sekali sebulan.

               Untuk menjadikan riadah jamai’e ini lebih sistematik dan memberikan impak yang besar, biro sukan dan rekreasi telah menyusun jadual untuk memastikan setiap ahli eximius akan beriadah dengan sukan yang berbeza. Bola tampar, futsal, bola jaring, badminton, tenis dan bola padang adalah sukan yang setakat ini telah berjaya dijalankan bermula daripada blok pertama lagi.

         Walaubagaimanapun, tiada kata-kata yang lebih bagus jikalau tidak disertakan dengan bukti ataupun gambar. Jadi inilah dia serba sedikit gambar semasa riadah jamai'e tersebut berlangsung.



Panaskan badan dahulu sebelum beriadah


Brothers yang bersemangat bermain bola sepak


"Ehh, mana bola ni?"


 Hebat gaya tendangan Syahmi!

Masing-masing menunggu giliran untuk menendang bola





Bola tampar dan bola keranjang


"Zoom dekat sikit la tak nampak"



Sisters bermain bola jaring

Tenis





       Bila bercakap mengenai sukan dan rekreasi, teringat pantun yang saya pernah pelajari semasa di sekolah menengah dahulu,

  Sayang Singapura sungainya jernih,
   Tempat laluan sampan dan kolek;
Segar jasmani jiwa bersih,
   Aktiviti sukan amalan yang baik.

        Secara peribadi, saya suka pantun ini kerana ia menggambarkan secara terus tiga kepentingan beriadah atau bersukan. 

        Yang pertamanya, sihat tubuh badan terutamanya untuk kegunaan ibadah harian. Jikalau kita sering sakit, fikirkanlah bagaimana kita nak menyempurnakan ibadah-ibadah sunat sedangkan yang wajib pun sudah tidak larat?

        Yang kedua, membersihkan jiwa. Jiwa disini merangkumi roh, spiritual, mentaliti dan akal kita. Jika tubuh badan kita sihat, secara tidak langsung ia akan memberi kesan yang positif dan daya tahan yang kuat terutamanya pada akal dan mentaliti kita. Akal yang sihat datang daripada badan yang sihat, tak begitu?

         Seterusnya pada baris pantun yang terakhir, tersebut aktiviti sukan merupakan amalan yang baik. Ini memang tidak dapat disangkal lagi bersukan merupakan amalan yang bagus dan digalakkan oleh Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadith pun ada menyebut mafhumnya, orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah. 

Jadi tunggu apa lagi? Jom rebut peluang beribadah sambil menyihatkan badan!



3 comments: