Friday, 6 June 2014

Khidmat Komuniti : GELANDANGAN: CATITAN IBRAH DAN PENGALAMAN.


         Deru bayu pagi menyentakkan aku dari lamunan. Jam menunjukkan tepat pukul 11.57 minit pagi. “mana bas ni?,” bicaraku pada teman. Balasnya, “relaks ar..pak cik tu cakap pukul 12 bas sampai”. Benar…..tatkala jarum jam bergerak tepat ke pukul 12, bas kami pun tiba. “hebat pemandu bas ni..menepati masa, tabik spring!..”getus hatiku. Kami bergegas memunggah barang-barang yang hendak dibawa ke dalam bonet bas. Memang banyak yang perlu diangkut, namun apabila semua menghulurkan tangan, beban yang berat terasa ringan.

             Setelah selesai semuanya, kami memulakan perjalanan dengan tawakkal dan doa.  Semoga perjalanan ke ibu kota ini selamat dan lancar semuanya. Ya memang benar perjalanan pada waktu tengah hari ini amat memenatkan, tetapi pendingin hawa di dalam bas yang berkeadaan  tip- top melegakan kami. Ada yang tertidur dan ada juga yang sibuk bermain gadget masing-masing, tidak kurang juga yang duduk termenung menatap pemandangan luar…sedang bermuhasabah diri mungkin..sambil memikirkan keagungan ciptaan Allah..tuhan sekalian alam. Jam 1.30 petang kami berhenti rehat di R&R Temerloh untuk menunaikan solat jamak zuhur dan asar. Aku kagum dengan seni bina surau di situ yang bagiku agak unik kerana sebahagian bumbungnya membolehkan cahaya tembus di samping pengudaraan yang baik. Selepas solat aku dan rakanku ke gerai yang berhampiran kerana tertarik dengan buah-buahan yang dijual. ‘Segar dan sedap..’luah sahabatku.


Dalam perjalanan. Berdebar menantikan apa yang bakal dihadapi.    

        Kami meneruskan perjalanan dan tiba kira-kira jam 4.05 minit petang. Kami terpaksa menunggu di tepi jalan buat seketika kerana menantikan kehadiran koordinator program tersebut. Hujan menyambut ketibaan kami ke kota metropolitan itu. Tanpa diduga, pemandu bas yang kami naiki rancak menceritakan keadaan dan kebenaran di sebalik misi mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan ini. Beliau yang boleh dikatakan masak dengan hakikat hidup golongan gelandangan itu memberitahu kami bahawa kebanyakan daripada mereka adalah kumpulan pendatang dari negara Kemboja, Myanmar, Indonesia dan sebagainya. Warga tempatan hanyalah kumpulan minoriti. Tambah beliau terdapat sebahagian daripada mereka yang langsung tidak menghargai rezeki yang diberi sehingga sanggup membuangnya. Ada juga kumpulan penagih yang akan cuba meminta wang daripada diberikan makanan.
       
        Sesi pencerahan pak cik pemandu bas tersebut mengundang seribu satu reaksi dan emosi dalam kalangan kami terutamanya perempuan. Ada yang ketakutan, risau, ‘nak balik’, dan ‘menyesal datang’. Namun bagi aku inilah peluang terbaik untuk aku mencari pengalaman dan mungkin ada banyak hikmah yang bolehku pelajari. Seperti kata pak cik pemandu bas itu.. “korang pergilah tengok diorang tu..pergi belajar dan ambil pengalaman..benda camni tak da  kat uia tu..” 
     
          Setelah hujan reda, aku dan rakan turun dari bas untuk meninjau keadaan sekeliling sambil mencari tandas. Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba, koordinator program pada petang itu, Pak Wan hadir lalu menyuruh pemandu bas membawa kami ke Jalan Panggung. Di situ kami dapat menyaksikan sekelompok manusia sedang beratur untuk mengambil makanan yang disediakan. Ramai…sangat ramai rupanya golongan gelandangan ini di bumi bertuah Malaysia!.. kami memindahkan makanan yang dibawa ke tempat pengagihan. Terdapat sukarelawan dan pelajar-pelajar dari UPM yang sedang sibuk mengagihkan makanan. Kami buntu tentang apa yang harus dilakukan memandangkan “too many cooks spoil the broth” 


Pelajar tahun akhir Jurusan Nutrisi Universiti Putra Malaysia sedang mengagihkan makanan
             Peluang sebegini aku gunakan untuk bermadah bicara berkongsi cerita dengan golongan gelandangan ini. Mangsa pertamaku ialah seorang pak cik yang padaku berusia dalam lingkungan 50-an. Katanya hidup di KL ni tak perlu risau tentang makan. Setiap hari kecuali cuti umum seperti hari raya dan tahun baru cina, akan ada sahaja agensi atau sukarelawan yang akan datang dan mengagihkan makanan juga pakaian. Hanya perlu tahu ‘port’ yang betul. Banyak agensi yang terlibat katanya termasuklah PERTIWI, kementerian kebajikan dan lain-lain. Sebenarnya sukar memahami bicara pak cik ini kerana dia adentulous (tiada gigi) . Ingin sahaja aku bagi pak cik ini sepasang gigi palsu untuknya. Mangsa aku yang seterusnya ialah seorang aunty cina. Aunty ini pun hanya mempunyai beberapa batang gigi.. partial denture case…menurutnya kebetulan sahaja dia berada di situ kerana habis bekerja di kawasan yang berhampiran. Rumahnya di Cheras..dia ibu tunggal.  Tinggal membujang tanpa anak membuatkan dirinya bebas ke mana sahaja. Dua cawan bubur berjaya dihabiskannya sambil berborak dengan aku. Sungguh aku berasa kasihan dan pilu mengenang nasib dan pengisian kehidupan mereka. Sebagai umat Islam, hidup kita mestilah berpandukan agama. Kita tidak boleh meletakkan untung nasib kita pada manusia dan harta semata-mata. Sebaliknya kita harus berusaha mendekatkan diri padaNya, agar hidup kita sentiasa terbimbing dan mendapat pengakhiran yang baik menuju alam yang kekal abadi kelak. 


Sesi Beramah Mesra Bersama Mereka
         Perancangan kami untuk mengadakan sesi cabutan bertuah terbantut kerana sukar untuk mengawal keadaan dengan manusia yang bersesak-sesak. Kami memutuskan untuk mengagihkan sahaja hadiah-hadiah tersebut. Situasi yang tidak terjangka berlaku apabila mereka mengerumuni sebahagian daripada kami untuk mendapatkan hadiah tersebut. Mujur ada yang berpengalaman meleraikan suasana yang agak tegang itu.

Akhirnya tiba giliran kami untuk mengagihkan makanan.
UIAM dan UPM berganding bahu mengagihkan bantuan.
Sekitar program.
           Apabila selesai semua makanan dan hadiah diagihkan…pengurus dan jawatankuasa penganjur berkumpul seketika. Mereka memperkenalkan individu-individu yang menjadi tulang belakang kepada aktiviti tersebut. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pelajar-pelajar yang telah menyumbang tenaga sepanjang program tersebut. Ingin aku kongsikan sebahagian isi penting yang dilafazkan oleh pensyarah pengiring dari UPM. Katanya para siswa sepatutnya lebih banyak melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan seperti itu untuk mereka mendalami dan tahu tentang masalah yang dihadapi oleh komuniti. Ini adalah landasan untuk para pelajar menyalurkan khidmat kepada masyarakat kerana mereka merupakan golongan yang bertanggungjawab terhadap komuniti ini kelak.Setelah selesai sesi fotografi, kami bergerak ke bas dan bersiap untuk pulang. Penat tapi berbaloi kerana peluang sebegini jarang ditemui..
Sepanjang perjalanan pulang, ngauman enjin bas menjadi melodi tidur kami. Kami tiba di uia kira-kira pukul 12.20 minit malam.

Sesi post-mortem dan ucapan daripada wakil UIAM dan UPM.
        Bagiku walaupun pada mulanya agak keberatan untuk menyertai program ini, setidak-tidaknya banyak benda baharu yang aku belajar sepanjang program tersebut. Peluang menelusuri kehidupan orang lain yang jauh lebih tua memberikan aku inspirasi dan keazaman untuk mencorakkan kehidupan aku ke arah yang diredaiNya. Hakikatnya kehidupan dunia hanyalah sementara, janganlah dikejar kemewahan dunia, namun gunakanlah dunia untuk kemewahan hari akhirat…kerana apabila kamu mengejar kehidupan akhirat….dunia dan isinya akan tunduk kepadamu…

       Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada committee yang berjaya menjayakan program ini. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada akak Nurul 'Izzati Binti Mansur atas bimbingan dan kelas leadership yang ‘sempoi dan masyuk’ …dibawah ini disertakan sekali pautan laporan daripada Malaysia Kini tentang aktiviti yang dijalankan..
 sekian ..wassalam.  


Gabungan Mantap UIAM &UPM
Kumpulan 21 Leadership Group

10 comments:

  1. Replies
    1. Alhamdulillah. Next time boleh la join skali.. :)

      Delete
  2. Dulu saya pernah merasa hidup gelandangan.

    ReplyDelete
  3. Replies
    1. Indeed.. Walaupun pada awalnya masing2 da lemah smgt lepas dgr ceramah pakcik driver, alhamdulillah semuanya brjalan lancar

      Delete
  4. Maaf atas kekurangan...first time tulis blog ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Syukran jzkk atas kesudian anda. Next time boleh la tulis lagi~
      But make sure parking moto elok2.. Haha

      Delete
  5. Tahniah kepada semua. Semoga usaha kita yang kecil ni dapat menggembirakan hati2 mereka dan bernilai di sisi Allah. Make it the first but not our last time to contribute to society.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah.. Khairunnaas, anfa'uhum linnaas. Sebaik-baik manusia adlh mereka yg mmberi manfaat kpd org lain

      Delete