Tanggal 1 Mac 2014, telah terlakar satu memori indah antara pelajar KOD dengan pelajar-pelajar Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH) yang terletak di Pekan, Pahang. Perjalanan yang memakan masa hampir 50 minit dari Kuantan ke Pekan bukan satu percutian atau rombongan kosong , tetapi kami mempunyai misi tersendiri. Kedatangan kami seramai 35 orang adalah untuk memberi semangat kepada adik-adik tingkatan 3 & tingkatan 5 serta berkongsi pengalaman dan maklumat tentang hala tuju mereka selepas ini terutamanya kepada pelajar tingkatan 5. Ini bertujuan agar mereka tahu ke mana mereka boleh pergi selepas SPM . Program ini telah dianjurkan oleh biro akademik DENSS dengan kerjasama biro ekonomi & kebajikan batch kami.
Program ini telah dijalankan selama sehari
bermula dari jam 9 pagi hingga 11 malam. Pada sesi pagi dan petang, kami
mengendalikan program ini bersama pelajar tingkatan 3. Manakala pada waktu malam
bersama pelajar tingkatan 5.
Aktiviti bersama pelajar-pelajar tingkatan
3 ini lebih tertumpu kepada latihan dalam kumpulan. Kami ingin menerapkan semangat
kerjasama dan kesatuan dalam batch
mereka. Secara tidak langsung ini akan dapat merapatkan lagi hubungan sesama
mereka dan menguatkan semangat satu batch. Semangat ini sangat penting untuk
menentukan jatuh bangun sesebuah batch tersebut.
Aktiviti bermula dengan pembahagian
kumpulan diikuti pemilihan nama kumpulan ,
ketua kumpulan, serta sorak kumpulan . Nama kumpulan ditentukan
berdasarkan nama superhero. Supersonic, Wolverine, Captain Amerika, Avengers,
Boboboi, Hulk dan X-man merupakan antara nama kumpulan yang telah dipilih oleh
mereka.
Aktiviti mereka diteruskan dengan aktiviti
membaling kertas yang telah dilipat menjadi kapal terbang. Di dalam kertas
tersebut, mereka telah diarahkan untuk melukis cita-cita mereka dan membaling
kertas mereka sejauh mungkin seolah-olah untuk menggapai cita-cita tersebut.
Kemudian aktiviti diteruskan dengan tema potensi dan kelemahan diri. Untuk aktiviti ini, kami telah mengarahkan mereka untuk mengambil satu bahan yang dapat membayangkan potensi dan kelemahan diri mereka. Ada yang megambil bunga raya, ranting kayu , pokok bunga bahkan kerengga pun ada.Haha!... Kemudian semua fasilitator mengarahkan mereka untuk membuat garis hidup mereka bermula dari umur 6 tahun hingga ke 65 tahun untuk menceritakan pengalaman yang telah dan bakal mereka tempuh. Sewaktu perkongsian, banyak impian dan hasrat yang telah mereka kongsikan bersama kami, ada yang ingin terbang ke luar negara, ada yang ingin membina menara berkembar yang lebih tinggi dari menara di dunia ini dan yang paling penting umur untuk mereka berkahwin, hehehe, kecil-kecil dah berfikir sampai ke tahap itu.
Sesi petang pula merupakan sesi yang
mencabar minda para pelajar ini. Mana tidaknya, sekolah ini telah terpilih sebagai
Sekolah Berprestasi Tinggi, maka kami telah menghasilkan satu modul untuk
menguji kepintaran dan kecekapan mereka. Memang tidak dinafikan, mereka semua
mempunyai tahap IQ yang boleh dibanggakan. Mereka telah diberi tugasan untuk
mereka dan membina bangunan pejabat setinggi 30 cm dengan menggunakan gabungan
straw dan kertas . Namun begitu, tidak semudah yang disangka, mereka perlulah
membeli bahan-bahan untukmembina bangunan tersebut daripada kami. Kami telah
memberi modal sebanyak RM 10,000 kepada mereka untuk membeli dan menguruskan
kewangan mereka. Bahan – bahan tersebut pula akan bertukar harga tiap 15 minit,
Maka mereka seharusnya bijak untuk melakukan urusan jual beli untuk memastikan
mereka tidak muflis. 2 orang daripada kami telah ditugaskan untuk membeli
bangunan mereka dengan harga yang berpatutan. Tidak dinafikan, semua bangunan
mempunyai nilai dan kreativiti tersendiri dan pihak kami rambang mata untuk
memberikan nilai kepada bangunan tersebut. Pada mulanya, kami menjangkakan akan
ada kumpulan yang muflis, namun begitu, pada pengakhirannya,semua kumpulan
telah berjaya mendapat modal kembali
bahkan keuntungan yang berlipat kali ganda. 3 kumpulan yang mendapat keuntungan paling tinggi telah
dipilih dan diberikan hadiah.
Selepas solat maghrib yang dihadiri oleh
semua pelajar termasuk (kami), ketua batch kami, saudara Zuhair telah
memberikan tazkirah maghribnya sementara menunggu masuknya waktu isyak. Tazkirah beliau bertajuk 'superhero yang sebenar' di mana
beliau telah menyeru para pelajar supaya belajar untuk mengetahui dan lebih
mengenali Nabi kita Muhammad S.A.W dan tidak lupa juga tokoh-tokoh Islam yang
telah banyak berjasa dalam pembangunan Islam. Beliau telah berkongsi kisah tiga figur penting dalam sejarah Islam iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawahah. Fokus diberikan kepada sahabat merangkap sepupu nabi S.A.W. iaitu Jaafar bin Abi Thalib yang diberi jolokan 'yang mempunyai dua sayap' kerana kesungguhan dan pengorbanan beliau sehingga kehilangan kedua belah tangannya sebelum syahid di medan jihad.
Selepas solat isyak, aktiviti diteruskan bersama
tingkatan 5 yang lebih menjurus kepada hala tuju mereka selepas SPM iaitu
pilihan yang mereka ada setelah menamatkan zaman persekolahan. Semua
fasilitator telah ditugaskan untuk menceritakan 7 cabang atau pilihan selepas
SPM kepada adik-adik tingkatan 5 ini dalam masa hanya lebih kurang 50 minit
sahaja memandangkan masa yang tinggal amat singkat. Disebabkan masa yang
singkat, ramai fasilitator tidak puas untuk berkongsi maklumat bersama
adik-adik tingkatan 5. Ada yang berharap agar program ini akan diadakan lagi
pada masa akan datang.
Akhir sekali, terima kasih kepada semua
pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini sama ada secara langsung
atau tidak langsung. Moga segala tenaga dan penat lelah kalian dibalas dengan
kebaikan yang berlipat ganda. Jangan kita serik untuk memberi sesuatu kepada
orang lain kerana pepatah arab ada mengatakan "tangan yang di atas itu lebih
baik dari tangan dibawah" atau erti kata lain, tangan yang memberi lebih baik
dari tangan yang menerima.
tolong post gambar2 lain yg korang amik kat denss iium boleh??? pleaseee...
ReplyDelete