Thursday, 20 August 2015

10 Soalan Yang Kerap Ditanya Kepada Pelajar Dental

oleh Sturdevant & Otesudesu


Polyclinic - IIUM Dental Clinic
Assalamu'alaikum. Segmen dental informasi kembali lagi. Emm macam ayat TV pendidikan :P

Apabila anda mula menceburi dunia pergigian, anda mesti pernah (atau akan) ditanya oleh para sahabat handai, ahli keluarga atau saudara mara yang lain, sekurang-kurangnya 10 soalan ini.

Soalan 1. Boleh ke nak putihkan gigi? Apa caranya?
Sebelum tu, buat pengetahuan anda, putihkan gigi ni bukanlah satu prosedur yang menambahkan kesihatan atau fungsi gigi. Gigi yang berbayang (shade) cerah tidak semestinya lebih sihat dari gigi yang berbayang gelap. Kebiasaannya, rawatan ini perlu apabila melibatkan psikologi seperti seseorang yang rendah keyakinan diri kerana warna gigi yang gelap.



Warna (stain) yang terlekat pada gigi kebiasaannya berpunca dari tabiat makan makanan yang gelap (coklat, kopi dan sebagainya). Ada juga disebabkan oleh pengambilan antibiotik tertentu, gigi yang telah dimatikan dan juga salah satu proses penuaan. Struktur enamel pada orang yang berusia akan kelihatan lebih gelap kerana ianya menjadi lutcahaya (transparent); memperlihatkan warna struktur di dalamnya, iaitu dentin.
Anatomi Sebatang Gigi
Okay, jadinya lepas dah tahu punca kenapa gigi anda jadi gelap, anda bolehlah berfikir semula apakah berbaloi atau tidak untuk teruskan rawatan memutihkan gigi. Jika anda memang 'hantu' coklat atau kopi, tidak lama selepas rawatan, gigi anda akan kembali gelap.

Apapun, dapatkan nasihat dari doktor gigi dan pastikan sepanjang rawatan pemutihan itu berada dibawah seliaan pakar kerana cara yang salah mungkin boleh putihkan gigi, tetapi kesan sampingan seperti gigi menjadi sensitif (contoh yang diviral seperti menggunakan lemon dsb) dan tidak berfungsi dengan baik adalah risikonya.

Soalan 2. Boleh tak pasang braces di klinik KoD?
Boleh untuk sesiapa yang berusia 16 tahun ke bawah atau pelajar KOD sahaja dan telah disahkan oleh doktor pakar bahawa anda memang perlu memakai braces atas alasan yang kukuh, bukan semata-mata kerana mahukan estetik atau kecantikan. Untuk pesakit selain dari kategori di atas, sekiranya ada niat juga, dipersilakan ke IIUM Dental Clinic dan tanyakan staff yang menjaga kaunter atau doktor yang membuat pemeriksaan ke atas anda.

Segala rawatan yang melibatkan braces akan dilakukan 100% oleh pakar ortodontist. Tiada pelajar pergigian yang layak untuk memasang braces. Berkenaan dengan bayaran, anda boleh dapatkan sebutan semasa lawatan kali pertama. (dan kami bukanlah pihak yang berkuasa mengeluarkan kenyataan mengenai bayaran untuk apa-apa rawatan pun)

Soalan 3. Braces tu bukan ke dianggap mengubah ciptaan Allah yg dilaknat, seperti dalam hadis?

Merujuk hadis tentang mengubah ciptaan Allah (yang bermaksud):
"Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mari kita lihat apa ulasan Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman berkenaan hadis di atas:
Yang disebut ‘al-Falaj', yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan berlebih-lebihan dalam berhias yang sama sekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini adalah ‘trend' Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik. 

Adapun pada hari ini, kebanyakkannya sudah menukar ‘style' mereka kepada merapatkan gigi menggunakan ‘braces' yang yang bertujuan MENCANTIKKAN susunan gigi. Ketika itu, hukum haram yang sama jatuh pada perbuatan merapatkan gigi bagi tujuan kecantikan. Adapun jika ia dilakukan bagi inidividu yang mengalami kemalangan dan bertujuan mengubatnya, ia menjadi harus.

Soalan 4. Kenapa gusi berdarah?
Sebab utama gusi berdarah adalah kerana pengumpulan lapisan tahi gigi (plaque) pada garis gusi. Ini akan mengakibatkan keradangan gusi (inflamed gums/gingivitis). Sekiranya tahi gigi ini tidak dibuang, ianya akan mengeras kepada karat gigi (tartar). Ini pula akan menambah risiko gusi berdarah dan mengakibatkan penyakit yang lebih teruk, iaitu periodontitis (penyakit gusi + tulang rahang) -- sumber (link)

Soalan 5. Kenapa gigi terasa sakit semasa minum air sejuk/manis?
Inilah keadaan yang disebutkan gigi sensitif. Kebiasaannya gigi sensitif terjadi akibat gusi terselak / hakisan enamel yang menyebabkan dentin terdedah.

Kenapa sensitif bila dentin terdedah? - Struktur histologi dentin yang mempunyai tiub berisi air yang bersambung ke saraf dalam gigi. Apabila ada rangsangan, air didalam tiub ini akan bergetar dan diterjemahkan oleh saraf sebagai sesuatu yang sakit/sensitif.

Apa nak buat kalau gigi sensitif? - Sila berjumpa dengan doktor gigi untuk rawatan yang lebih tepat untuk kes yang spesifik.

Fisiologi gigi sensitif
Soalan 6. Apa prosedur yg dibuat untuk rawatan akar? Bagi vitamin utk kuatkan akar gigi ke?
Errr. Hihi, ni soalan paling comel yang saya pernah dapat :-)
Rawatan akar atau nama omputehnya root canal treatment (RCT) adalah rawatan yang menukar status gigi dari hidup kepada mati. Hidup atau mati sebatang gigi ditentukan oleh kewujudan saraf yang bersambung di dalam gigi.  Dalam prosedur RCT, semua saraf dan tisu lembut yang ada pada teras gigi dibuang disebabkan oleh pelbagai punca. Pun begitu, RCT mungkin boleh menyelamatkan sebatang gigi daripada dicabut. Gigi yang sudah mati boleh berfungsi untuk mengunyah seperti biasa tetapi berisiko tinggi untuk retak dan pecah kerana kehilangan peratusan air didalamnya lama-kelamaan.

Soalan 7. Kenapa dentist suka prescribe antibiotik kalau nak cabut gigi? Nak ambik untung lebih ke jual antibiotik? Perlu sangat ke?
Antibiotik perlu diberi sebelum prosedur mencabut kepada pesakit yang mempunyai masalah jantung seperti pesakit yang mempunyai peralatan yang ditanam (prosthesis) - pacemaker buatan contohnya. Selepas cabutan juga biasanya diberi sekiranya punca cabutan melibatkan jangkitan (infection) bakteria kerana ada risiko bakteria itu merangsang imuniti badan untuk menyerang organ sendiri (hypersensitivity type III).

Nasihat kami, janganlah terlalu prejudis terhadap dentist. Tak semua dentist yang hanya berwawasan kebendaan dunia. Sekiranya ragu-ragu tujuan pemberian antibiotik, silakan bertanya untuk mendapat penerangan lebih lanjut daripadanya.

Soalan 8. Dentist selalu suruh guna berus gigi lembut. Tapi saya suka guna yg keras sebab cepat cuci. Kalau yg keras tak bagus, kenapa ada jual?
Berus lembut lebih sesuai dgn keadaan mulut dan gigi. Gusi biasanya akan mengalami trauma apabila terkena sentalan berus yang kasar dan keras. Lama kelamaan, gigi boleh terhakis manakala gusi pula akan bermasalah. Berus keras mungkin boleh cuci gigi dengan cepat, tetapi membahayakan struktur dalam mulut dalam jangka masa yang panjang.

Kenapa ada jual yang keras? - Ini hanyalah mainan bisnes oleh syarikat pemasaran alat-alat pembersihan gigi. Mereka akan jual selagi mana ada pelanggan. Anda boleh tanya mana-mana dentist, walaupun berlainan universiti, negara dll, mereka bersepakat dalam hal ini; iaitu berus gigi (bristle) mestilah lembut.

Soalan 9. Perlu ke guna selalu mouthwash sebagai rutin macam berus dan floss?

Tidak, gunalah berpada-pada. Mouthwash perlu digunakan dalam keadaan tertentu seperti terdapat kawasan yang tidak boleh dimasuki oleh berus mahupun selitan floss dan lain-lain lagi. Penggunaan mouthwash yang berlebihan (contoh >2 kali sehari) boleh menyebabkan gangguan sistem flora didalam mulut dan memudahkan serangan jangkitan kulat dan bakteria.

Soalan 10. Kenapa korang belajar 5 tahun gak, padahal belajar GIGI je pun?. 
Amboi soalan dia, hehehe...Tak dinafikan, kami pun fikir benda yang sama sebelum terjun ke dunia pergigian. Tetapi selepas didedahkan sedikit sebanyak semasa di tahun pra-klinikal, jawapan pendek kami:

Pelajar pergigian perlu juga belajar subjek-subjek perubatan dan ditambah subjek-subjek dental dan juga material. Ditambah pula, pergigian ini satu gabungan antara kemahiran dan teori, maka terdapat banyak praktikal (di makmal simulasi & klinik) di mana banyak masa kami luangkan menyiapkan segala requirement untuk lulus dalam setiap tahun.

--Kalau nak jawapan panjang, sila PM mana-mana dental student atau dentist. :-P

Kulliyyah of Dentistry, IIUM Kuantan Campus

1 comment:

  1. Bolh tambah soalan ni.
    1. Gigi saya berlubang dan sakit sangat. Nak pergi klinik tapi tak buka lagi, saya nak buat macamne?

    ReplyDelete