Tuesday, 26 November 2013

Mengukir sebatang gigi [CARVING TIME !]

CARVING TEETH (UKIRAN GIGI)



          Mengukir gigi adalah salah satu daripada perkara asas yang wajib  dilakukan  setiap pelajar pergigian. Ini adalah salah satu cabaran yang harus anda tempuh dalam tahun pertama sebagai pelajar pergigian. Ia tidak sesenang dan tidak semudah yang disangka. Kemahiran mengukir gigi ini memerlukan kesabaran yang tinggi serta nilai kreativiti yang tinggi. Jurusan pergigian adalah jurusan yang mengabungkan ilmu sains dan seni. Menarik bukan !. Namun jika anda rasa anda tidak berseni, usah takut dan gusar kerana kemahiran seni ini boleh diasah serta digilap dari masa ke semasa, yang penting jangan berputus dan terus bersemangat untuk melakukan sesuatu.



         Ukiran gigi ini akan diambil markah untuk penilaian akhir tahun 1 nanti. Ia merupakan salah satu daripada silibus Oral Biology yang merupakan subjek teras yang paling penting dalam bidang pergigian.
Untuk kemahiran ini, kami  dibekalkan dengan wax block (lilin) serta 2 pisau khas untuk mengukir dan memotong wax block tersebut. Oleh demikian, dalam Tahun 1 ini, kami ditugaskan untuk mengukir 8 gigi yang berbeza .



Wax block


  Pisau khas untuk mengukir gigi

            Pelbagai insiden dan ragam yang terpaksa kami harungi sepanjang melakukan tugasan ini. Perkara yang paling kerap berlaku adalah ketika mana wax block tersebut mudah untuk pecah dan patah. Anda haruslah bijak untuk menggunakan kekuatan tangan anda untuk mengukir dan membentuk gigi. Selain itu anda harus pandai untuk melukis bentuk gigi di atas wax block tersebut, kemudian memotong wax block itu dengan berhati – hati. Biasanya pada permulaan memang ramai yang akan buat semula 2 hingga 3 kali.


             Ada juga seorang sahabat kami telah menggunakan 5 wax block dalam masa 3 jam kerana wax beliau asyik patah dan pecah. Ini semua berlaku kerana beliau tidak mampu mengawal kekuatan tangannya yang terlalu kuat. Namun setelah beberapa kali percubaan serta sokongan moral daripada tenaga pengajar serta rakan-rakan yang lain, beliau mampu menyiapkan tugasan tersebut. Jangan risau jika hasil anda tidak secantik orang lain, yang penting adalah usaha kita untuk melakukan sesuatu itu lebih bernilai dari segalanya.






   Salah satu contoh gigi yang telah patah…=`[ 
Sebenarnya banyak lagi contoh2 lain..




 Salah satu contoh terbaik daripada ketua batch kami=]

         Tidak lupa juga, setiap seorang daripada kami dibekalkan 2 set gigi iaitu satu set gigi kekal dan satu set lagi gigi susu untuk proses pembelajaran serta menjadi panduan kepada kami untuk mengukir gigi. Jangan terkejut, harga untuk 2 set gigi ini menjangkau rm 700 . Gigi kekal (rm 400) manakala gigi susu ( rm 300). Sebab itulah , bidang pergigian memerlukan pelaburan yang tinggi dan Antara bidang yang paling mahal kosnya. Peralatan-peralatannya juga boleh tahan mahalnya kalau di Malaysia ni berbanding di Negara-negara luar seperti India dan Mesir. Jadi, jagalah barang anda dengan baik atau anda terpaksa mengeluarkan duit yang banyak hanya untuk mengganti barang yang hilang ini.


 Contoh specimen gigi kekal bernilai rm 400 =O


 Contoh specimen gigi susu bernilai rm 300 =0



8 gigi yang telah diukir


          Akhir kalam, moga apa yang kita lakukan di dunia ini bukanlah untuk kemegahan dan kebangaan diri kita. Niatkan ia sebagai satu ibadah dan sentiasa ikhlas melakukan sesuatu. Sekian, wasalam..


1 comment: